Menu


Wanita separuh bogel mati dijerut
PENAMPANG: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan apabila bukan saja lehernya dijerut, malah kaki dan tangannya turut diikat menggunakan tali dalam kejadian di Pangsapuri Delta Heights, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rozaidah Lajalo, 28, dari Tawau, yang hanya berbaju dan berseluar dalam ditemui tertiarap oleh sepasukan polis dalam sebuah bilik, jam 6 petang.

Menurut sumber, sebelum itu, kakak mangsa dikatakan datang ke rumah di tingkat dua pangsapuri berkenaan selepas wanita terbabit tidak hadir ke tempat kerjanya di sebuah pusat hiburan, di sini.

“Kakak mangsa yang curiga masuk ke rumah berkenaan sebelum terhidu bau busuk dari sebuah bilik yang berkunci sebelum menghubungi polis.

“Polis memecah pintu bilik berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dalam keadaan tangan dan kakinya terikat manakala ada kesan jerut di lehernya,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan ahli keluarga serta kenalan mangsa dan sedang mengenal pasti motif kejadian.

*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 20 September 2012
 
Top