“Mereka yang melakukan perbuatan sihir sebenarnya meletakkan nafsu dan akidah mereka di depan, bukannya agama. Mereka hilang pertimbangan waras dan sanggup menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan hati mereka.
“Hampir 50 hingga 60 peratus yang datang (membuat rawatan Islam) berjumpa saya untuk menyelesaikan masalah seperti ini, dan saya beranggapan ia sangat membimbangkan,” katanya.
Menurut Suhaimi, sihir najis yang dikenakan kepada Rafidah adalah contoh ilmu hitam, namun ada pelbagai sihir lagi yang biasa digunakan seperti sihir pembenci yang ditujukan sama ada kepada si suami atau isteri.
Katanya, perbuatan syirik berkenaan semata-mata bertujuan memisahkan pasangan terbabit atau memporak-perandakan rumah tangga seseorang.
“Ada kes berlaku, si suami tidak balik langsung ke rumah akibat perbuatan sihir ini. Yang dapat saya jelaskan, semua ini dilakukan kerana mereka lupa pada agama dan Islam.
“Mengapa perlu meminta bantuan jin dan syaitan melalui ilmu hitam begitu, bukankah lebih afdal meminta kepada Allah yang lebih berkuasa daripada segala-galanya,” katanya.
Suhaimi berkata, ada wajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap amalan sihir, seperti mewujudkan akta dan undang-undang berkaitan sihir.
“Bagi saya, ia baik untuk dilaksanakan bagi menangani masalah ini. Lihat seperti di Indonesia, ada undang-undang boleh digunakan untuk membendung amalan sihir.
“Selain itu pula, institusi perkahwinan dan poligami ini perlu diperkukuhkan. Masyarakat perlu didedahkan dengan kefahaman tinggi mengenainya, bukan sekadar mengikuti kursus perkahwinan, supaya masalah begini tidak timbul,” katanya.
Sementara itu, Perunding Motivasi dan penceramah bebas, Mohd Zawawi Yusoh berkata, amalan menggunakan ilmu hitam dan sihir yang semakin berleluasa menunjukkan mentaliti segelintir masyarakat kita semakin teruk.
“Dalam dunia yang semakin canggih dan moden, masih ada golongan begini. Kita bukannya maju ke depan, tetapi semakin ke belakang jika masih berfikiran begini.
“Saya tidak menolak perbuatan sihir ini kerana dalam agama Islam kewujudannya memang tidak dinafikan. Ia sepatutnya dihindari kerana amalan syirik, dan bayangkan di zaman Rasulullah masyarakat Arab ketika itu turut menolak amalan ini,” katanya.
Zawawi berkata, jika timbul salah faham, terutama membabitkan perkahwinan poligami, pasangan terbabit sepatutnya bertolak ansur, bukan mencari penyelesaian dengan mengamalkan ilmu hitam.
“Tidak boleh saling tuduh menuduh, atau menyimpan hasad dengki tanpa usul periksa. Misalnya, benarkah si madu itu berbuat jahat atau sebaliknya, dan hal begini tidak patut berlaku.
“Mereka sepatutnya meminta petunjuk daripada Allah. Perkahwinan itu adalah takdir, jika berlaku apa-apa (musibah) ia kehendak Allah, justeru minta pada-Nya untuk memulihkan keadaan yang keruh itu melalui doa atau solat hajat,” katanya.
* Sumber disunting Harian Metro Online 27 Jun 2010