Menu


GEORGETOWN: Helah seorang penjawat awam yang mengaku berkahwin dengan pasangannya di Selatan Thailand terbongkar apabila gagal membuktikan sijil pernikahan sah selepas disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel di Lebuh Campbell, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi itu tiga pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 40-an dicekup kerana disyaki berkhalwat di beberapa hotel di Kampung Malabar dan Lebuh Campbell bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Beliau berkata, dalam operasi itu penjawat awam berusia 40-an itu ditemui tidak memakai baju manakala pasangannya hanya memakai singlet dan bersembunyi di bilik air ketika pemeriksaan.

Katanya, siasatan mendapati suspek lelaki mengaku berkahwin di Selatan Thailand pada 2006 manakala pasangannya pula mengaku baru bernikah tahun ini, namun pengakuan itu meragukan apabila kedua-duanya gagal mengemukakan sijil nikah.

“Lebih berani lagi, lelaki terbabit sanggup memberitahu mereka pernah bercerai sebelum merujuk semula, namun pengakuan kedua-duanya bercanggah selepas dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan.

“Suspek lelaki akhirnya mengaku mereka belum berkahwin dan hasil pemeriksaan lanjut, dia bekerja di jabatan kerajaan dan mengenali pasangannya sejak enam tahun lalu,” katanya.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan berikutnya seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dicekup bersama pasangannya kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Malabar, di sini, dan mengaku sudah bertunang.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, penuntut itu hanya memakai kain batik manakala teman wanitanya memakai baju tidur labuh paras lutut dan kedua-duanya gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan ketika diminta.

Katanya, sehelai coli yang ditemui di atas katil dirampas dan mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, turut ditahan seorang lelaki berusia 40-an yang berperwatakan seperti perempuan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 28 enakmen sama dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Khairul Azman berkata, turut ditahan seorang remaja berusia 20-an yang positif alkohol manakala enam wanita dipercayai pelacur bukan beragama Islam ditahan dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

* Sumber disunting Harian Metro Online 27 Jun 2010
 
Top