Kejadian di Kampung Padang Leban, Bukit Payung dekat sini kira-kira pukul 1 petang itu bagaimanapun tidak berlarutan apabila polis berjaya menahan pemuda terbabit, tiga jam kemudian.
Suspek ditangkap oleh polis ketika menyorok dalam semak di belakang rumahnya selepas ibunya membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu tadbir baru pulang ke rumahnya.
Katanya, ketika sampai di rumah mangsa bagaimanapun dihalang oleh beberapa orang anaknya agar tidak memasuki rumah kerana bimbang dicederakan oleh suspek.
Bagaimanapun, katanya, mangsa berdegil dan tetap masuk ke rumah berkenaan.
''Suspek yang ketika itu berada di belakang rumah terus meluru masuk ke bilik tidur mangsa lalu meletakkan parang di lehernya.
''Anak-anak mangsa yang lain cuba meleraikannya. Bagaimanapun, suspek terus mengugut untuk mencederakan mangsa menyebabkan mereka takut untuk membantu,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini suspek dikatakan sering mengamuk bagaimanapun tidak diketahui punca dia bertindak demikian.
Ujarnya, mangsa yang bimbang kejadian tersebut berulang terus membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung.
Tambah beliau, suspek ditahan kira-kira pukul 4 petang dan sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan
* Sumber Utusan Malaysia Online 23 November 2009
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm