Menu


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji pelbagai alternatif bagi mengelak kenaikan harga petrol di negara ini, walaupun harga komoditi itu melambung di pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menepis khabar angin mengatakan harga petrol di pasaran tempatan naik dalam masa terdekat ini.


Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan melihat keseluruhan situasi yang berlaku dan bukan sewenangnya menaikkan harga petrol berikutan tindakan itu tidak menyumbang kepada pengurangan belanja kerajaan dalam pemberian subsidi kepada rakyat.

“Ketika ini harga minyak naik melambung di pasaran dunia dan ada negara naikkan harga minyak dua kali dalam tempoh tiga bulan ini tetapi kerajaan mencari pelbagai pilihan lain dalam usaha mengelak krisis harga petrol ketika ini memberi kesan kepada harga jualan bahan bakar itu di negara ini.


“Kesan kenaikan di negara ini masih belum terlalu berat kerana kerajaan masih beri subsidi dan sekiranya harga minyak terus naik, kerajaan dijangka menanggung belanja subsidi sehingga RM14 bilion,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman pelaksanaan projek ‘Entry Point Project’ (EPP3) -Pemodenan Bengkel Automotif (Atom), di Pusat Latihan Harta Intelek (IPTC), di sini, semalam.


Turut hadir, Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Tunku Muzaffar Tunku Mustapha; Presiden Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM) dan Presiden Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia, Othman Ismail.

Agensi AP kelmarin melaporkan harga minyak dunia melonjak ke paras AS$88 setong (RM267.82) di pasaran Asia ketika kebimbangan pelabur berhubung ketegangan di Libya diramal menjejaskan pengeluaran bekalan negara Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec).


Penanda aras kontrak penghantaran minyak mentah bulan Mac di New York Merchantile Exchange, meningkat AS$1.67 kepada AS$87.87 setong pada lewat petang semalam dalam dagangan pasaran elektronik Asia. Ia mencatatkan penurunan 16 sen kepada AS$86.20, Jumaat lalu.

Di London, minyak mentah Brent bagi penghantaran April di ICE Futures Exchange pula meningkat AS$1.78 kepada AS$104.30 setong.


Sementara itu, pada majlis berkenaan, kementerian menjalin kerjasama dengan AAM, FAWOAM dan Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia, untuk melaksanakan projek memodenkan bengkel, Atom, bagi menaik taraf sektor perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan automotif yang ketika ini bertaburan dan tidak tersusun.


Ismail berkata, kerajaan mensasarkan 300 bengkel automotif di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada projek itu dijadualkan bermula April ini sebaik modul disediakan kementerian siap.


“Melalui projek ini, pengusaha bengkel automotif akan mendapat pelbagai bantuan antaranya pinjaman kewangan, khidmat nasihat, penyediaan cadangan naik taraf, latihan kemahiran dan keusahawanan,” katanya.

*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 23 Februari 2011
 
Top