GUA MUSANG: Seorang janda berusia 28 tahun nyata tidak serik melakukan maksiat apabila dua hari berturut-turut dicekup khalwat bersama pasangan berlainan dalam serbuan di rumah kosong di Kampung Lembaga, awal pagi kelmarin, malah lebih mengejutkan seorang lagi janda berusia 29 tahun turut ditemui dalam bilik di rumah berkenaan bersama temannya.
Serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan sepasukan Skuad Amru bersama Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) diketuai Penolong Penguatkuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir.
Dua pasangan itu dipercayai menceroboh masuk ke rumah terbabit menerusi tingkap berikutan tindakan pemiliknya mengunci pintu.
Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim berkata, serbuan dilakukan pasukan penguatkuasanya selepas menerima maklumat orang awam berhubung kehadiran dua pasangan bermadu kasih dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa juga terpaksa memanjat rumah itu menerusi tingkap untuk melakukan pemeriksaan terhadap kediaman berkenaan, namun tidak sempat menahan teman lelaki dua wanita terbabit yang meloloskan diri.
“Sebaik memasuki rumah terbabit, kami menemui dua janda termasuk seorang daripadanya pernah ditangkap khalwat sehari sebelumnya di Kampung Jerek Kaling.
Menurut Anuar, kedua-dua janda itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang sebelum dibawa ke Pejabat Agama Jajahan bagi siasatan lanjut serta dibebaskan dengan ikat jamin.
Beliau berkata, walaupun teman lelaki masing-masing berjaya meloloskan diri, tetapi dua janda itu tetap didakwa berkhalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang, 5 April depan.
*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 2 Februari 2011