Menu


PUTRAJAYA 14 Sept. – Tarikh pilihan raya umum (PRU) adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah yang tidak perlu dikongsi bersama pakatan pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, di mana-mana negara pun sememangnya tidak ada perbincangan berkenaan tarikh PRU antara kerajaan yang memerintah dengan parti-parti pembangkang.

“Jadi ia adalah hak mutlak kerajaan untuk membubarkan Parlimen bila masa ditentukan oleh pihak mereka sahaja dan di mana-mana negara pun macam itu.

“Kalau mereka (pembangkang) nak tentukan juga, biarlah jadi kerajaan dulu tetapi bila jadi kerajaan dan kita ajak bincang dulu, mereka tentu tidak mahu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Proton berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan tiga unit model Saga dan lima Exora berkuasa elektrik oleh Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Portal propembangkang, Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan pakatan pembangkang mahu terlibat sama menentukan tarikh PRU bagi membolehkan cadangan pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas.

Ia antara lima prasyarat yang dibentangkan dan mereka mahu Najib memberi jaminan berhubung perkara itu sebelum mereka memutuskan menyertai JTP.

Mengulas mengenai JTP itu, Dr. Mahathir yakin kerajaan akan menerima apa sahaja cadangan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa itu.

“Tetapi mungkin kerajaan mempunyai pendapat yang berbeza terhadap setiap cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh PRU ke-13, beliau berkata: “Saya kenal Datuk Seri Najib tetapi tidak boleh baca hati beliau”.

Ditanya mengenai usaha Proton mengeluarkan kereta elektrik sepenuhnya, beliau berkata, ia adalah usaha yang memberi kebaikan bukan hanya kepada kerajaan tetapi rakyat.

“Kerajaan boleh berjimat dari segi subsidi ke atas minyak petrol dan untuk orang awam, mereka juga boleh menjimatkan pengunaan bahan api itu walaupun harga kereta itu agak mahal.

“Saya juga berharap Proton akan mengeluarkan trak dan bas yang menggunakan elektrik sepenuhnya di masa depan,” katanya.
 
Top