Menu


KUALA LUMPUR: Majikan yang menggaji pengawal keselamatan swasta di Semenanjung diarah segera membayar tunggakan gaji minimum kepada pengawal keselamatan mereka mulai tarikh berkuat kuasa perintah itu 15 Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jofri Joakim, berkata ia selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Majlis Penetapan Gaji (Perintah Peraturan gaji) (Saraan Minimum Berkanun Bagi Pengawal Keselamatan Swasta Di Semenanjung Malaysia) 2011.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata jabatan itu menerima banyak aduan daripada pekerja yang digaji syarikat keselamatan mendakwa belum dibayar gaji selaras dengan kadar gaji minimum yang ditetapkan di bawah perintah berkenaan.

Katanya, dalam perbincangan Kementerian Sumber Manusia dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia mengenai pelaksanaan gaji minimum pengawal keselamatan swasta, tempoh masa yang mencukupi diberikan kepada pihak berkenaan bagi mematuhi perintah itu sebelum 30 Jun ini.

Jofri memberi amaran jabatan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang didapati melanggar perintah itu sekiranya tempoh kelonggaran yang diberikan berakhir.

Jika disabit dan didapati bersalah mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan.

Pada 15 Februari lalu, kerajaan menguatkuasakan peraturan baru gaji minimum bagi pengawal keselamatan Semenanjung Malaysia antara RM500 dan RM700 dan skala gaji baru itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A dengan gaji pokok RM550 dan elaun RM150 yang meliputi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Baharu Selatan, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian.
Zon B, gaji pokok RM500 dan elaun RM100 merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang dan Segamat.

Zon C, gaji pokok ditetapkan RM450 dan elaun RM50 bagi Kedah, Kelantan dan Perlis. – BERNAMA


*** Sumber disunting dari Berita Harian Online 12 Mei 2011
 
Top