Dalam kejadian itu, anggota polis dari pasukan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menembak tayar kereta yang dipandu seorang pemuda dan empat penumpang wanita berhampiran susur keluar Jambatan Pulau Pinang menuju Butterworth.
Polis melepaskan tembakan apabila pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri selepas arahan supaya dia memberhentikan keretanya tidak dipatuhi.
Difahamkan, sebelum itu sepasukan anggota polis mengekori kereta Kia Optima hitam apabila dikesan mencurigakan di Batu Feringgi, kira-kira jam 4 petang.
Bagaimanapun, pemandu terbabit memecut kenderaannya selepas menyedari diekori anggota polis dan dikejar hingga ke Tanjung Tokong apabila beberapa kereta peronda turut memberi bantuan untuk memintas dan memberhentikan kenderaan itu.
Difahamkan, beberapa anggota polis bermotosikal yang juga mengejar kereta terbabit hampir dilanggar kenderaan itu ketika pemandunya cuba mengelak ditahan.
Kereta terbabit dipandu menuju Jambatan Pulau Pinang dan sekali lagi arahan supaya pemandunya memberhentikan kenderaan diberikan, tetapi masih tidak dihiraukan.
Apabila tiba di susur keluar jambatan berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, polis menembak tayar kenderaan terbabit menyebabkannya berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhenti di tepi pembahagi jalan.
Ketua Polis IPD Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata polis menahan pemandu dan semua penumpang kereta terbabit.
Menurutnya, pemandu terbabit dikenal pasti berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, manakala semua perempuan berusia 18 hingga 50 tahun dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.
“Pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan dadah jenis syabu serta alat menagih dalam kereta terbabit.
“Siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan dan cukai jalannya palsu, tetapi siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada kenderaan terbabit dicuri atau sebaliknya,” katanya.
*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 12 Mei 2011