Menu




PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semua pihak harus menerima hakikat tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.

“Ia adalah kerana realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya adalah amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain,” kata Najib kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin dan cendekiawan Islam di sini semalam.

“Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan Negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak tidaklah seharusnya merasa bimbang, gundah gelana, ataupun gelisah di dalam hal ini,” katanya.

Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir adalah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Najib berkata dalam pertemuan selama sejam dengan pemimpin dan cendekiawan Islam itu, beberapa isu semasa turut dibincangkan termasuk isu ‘menukar’ agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya sememangnya berjumpa dengan pemimpin Islam dari semasa ke semasa. Tetapi di dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang ini amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini dan sekali lagi kita bincang atas isu ini dan juga atas perkara-perkara yang lain,” katanya.

Katanya, di dalam pertemuan itu pemimpin dan cendekiawan Islam itu juga bersependapat bahawa adalah penting untuk memelihara keharmonian, keamanan dan kesejahteraan negara.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak mestilah membendung perasaan emosi untuk tidak membuat apa jua perkara yang mengganggu gugat keamanan dan keharmonian serta kesejahteraan negara ini. - Bernama

*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 2 Februari 2011 *** Sumber disunting dari Utusan Malaysia Online 2 Februari 2011 *** Sumber disunting dari Berita Harian Online 2 Februari 2011
 
Top