Menu



Seorang bapa yang merogol dan mencabul kehormatan anak tirinya berusia 15 tahun dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan dikenakan 40 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Tertuduh, 43, dari Marang, dijatuhi hukuman berkenaan selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan mencabul kehormatan mangsa di rumah mereka di Marang, dua tahun lalu.

Dia didakwa merogol mangsa di rumah tersebut pada tahun 2014 bermula Jun, jam 8.30 pagi; Julai, jam 10 malam; September, 8 pagi dan Disember, jam 11 malam.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan sehingga 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didapati bersalah atas satu pertuduhan mencabul kehormatan mangsa di rumah berkenaan pada Mei 2014, kira-kira jam 8 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut, jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan dan mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.

Sementara bagi pertuduhan mencabul kehormatan mangsa, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun, bagaimanapun mahkamah mengarahkan hukuman tersebut berjalan serentak bersama pertuduhan pertama iaitu merogol mangsa pada Jun. [KUALA TERENGGANU]

*** Sumber disunting dari Sinar Harian Online 13 April 2016


Cerita Bapa Rogol Anak
 
Top