Menu


KOTA BHARU 21 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai diculik dan dirogol oleh seorang bekas banduan selepas diperdayakan di Pengkalan Chepa di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 27 tahun itu dikatakan memujuk mangsa yang keluar mencari adiknya di Taman Desa Kemumin kira-kira pukul 5 petang.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki motosikal sehingga ke Ketereh sebelum dirogol di sebuah rumah kosong.

"Suspek dikatakan meminta pertolongan mangsa memegang ais kiub yang dibelinya sebelum dibawa menaiki motosikal sehingga ke tempat kejadian.

"Setibanya di rumah kosong itu, kanak-kanak tersebut mendakwa dia telah dirogol oleh lelaki terbabit sebelum dihantar pulang di Jalan Padang Tembak di sini.

"Polis bagaimanapun berjaya menahan lelaki itu selepas dia membebaskan mangsa pada pukul 11.30 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazlan berkata, siasatan polis mendapati, lelaki tersebut pernah dipenjarakan atas kesalahan pecah rumah pada tahun 2007.

Katanya, polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 363 dan 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan merogol.

"Polis masih menyiasat sama ada suspek turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.

Sumber diperolehi:

Utusan Malaysia Online 22 November 2009
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm
 
Top