Menu


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberi ganti rugi RM100,000 setelah The New Straits Times Press (M) Sdn. Bhd. (NSTP) didapati menerbitkan satu artikel yang memfitnah beliau, tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian selepas mendapati artikel bertarikh 2 Mac 2002 itu menggambarkan Anwar sebagai seorang yang tidak mempunyai integriti dan tidak jujur, selain pemimpin serta ahli politik yang tidak boleh dipercayai.

''Tidak salah untuk (saya) membuat kesimpulan bahawa artikel tersebut boleh merendahkan plaintif (Anwar) di mata rakyat Malaysia. Akan wujud sedikit rasa benci dan menghina.

''Oleh demikian, saya berpendapat, artikel tersebut berunsur fitnah,'' katanya semasa membacakan penghakimannya di Mahkamah Tinggi di sini.

Anwar memfailkan saman pada 4 Julai 2003 terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Tan Sri Abdullah Ahmad bagi menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan menerbitkan artikel bermaksud untuk menjatuhkannya.

Artikel itu menyentuh dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewangan antara beliau dan organisasi dikenali sebagai Asia Pacific Policy Centre (APPC) serta tuduhan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid.


* Sumber Utusan Malaysia Online 26 November 2009
 
Top