Menu


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Seorang peniaga ayam goreng di pasar malam terpaksa 'bermalam' di Penjara Sungai Buloh mulai hari ini apabila dia tidak dibenarkan diikat jamin setelah didakwa merogol anak kandungnya, lapan hari lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini, Noradidah Ahmad memerintahkan demikian semasa membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Noradlina Ali supaya lelaki tersebut tidak dibebaskan dengan ikat jamin.

Noradlina membantah sebarang jaminan dengan alasan mangsa merupakan anak kandung kepada lelaki berusia 38 tahun itu dan dakwaan ke atas tertuduh adalah serius.

Keputusan itu menyebabkan isteri tertuduh yang hadir kelihatan gelisah dan mundar-mandir di luar mahkamah sejurus prosiding selesai.

Terdahulu, peniaga tersebut mengaku tidak bersalah merogol anak perempuannya yang berusia 13 tahun 11 bulan di ruang tamu sebuah rumah di Bukit Mahkota Cheras di sini kira-kira pukul 2 pagi, 18 November lalu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan minimum 10 kali jika sabit kesalahan.

Kes akan disebut semula pada 7 Januari tahun depan bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela

* Sumber Utusan Malaysia Online 26 November 2009
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_05.htm
 
Top