Menu


KOTA KINABALU: Akibat termakan ajakan, seorang gadis berusia 17 tahun bukan saja dipaksa minum minuman keras sehingga mabuk, malah dijadikan pemuas nafsu lelaki baru dikenali di dalam sebuah van di ladang kelapa sawit di Keningau, Khamis lalu.

Terdahulu, mangsa mengenali suspek dikenali sebagai Amiz, berusia 20-an, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengajak mangsa ke Kota Kinabalu untuk menyaksikan konsert di Padang Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia.


Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima pelawaan itu dan dijemput suspek bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah van.


Bagaimanapun, dalam perjalanan ke Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Keningau, suspek memaksa mangsa meminum minuman keras.


Sebaik melalui ladang kelapa sawit, suspek merogol mangsa dengan disaksikan dua lagi rakan suspek dan selepas memuaskan nafsu, lelaki berkenaan menghantar mangsa pulang ke rumahnya, kira-kira jam 10 malam hari sama.

Kejadian malang yang menimpa mangsa terbongkar apabila bapanya mengesyaki perkara buruk berlaku ke atas anak gadisnya yang berkurung dan menangis di dalam bilik sejak pulang daripada ‘menyaksikan konsert’.


Apabila ditanya, mangsa pada awalnya enggan menceritakan apa yang berlaku tetapi selepas didesak, gadis berkenaan mengaku dirogol teman barunya.


Berang dengan pengakuan itu, bapa mangsa membawa anak gadisnya ke balai polis untuk membuat laporan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan itu dan polis memburu tiga suspek berdasarkan maklumat diterima.


“Siasatan awal mendapati mangsa hanya mengenali suspek dan sering berhubung melalui SMS sebelum bertemu buat kali pertama pada petang Khamis lalu.


“Suspek menggunakan pelawaan ke Kota Kinabalu bagi menyambut Hari Malaysia sebagai alasan untuk mengambil kesempatan merogol mangsa.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang ada maklumat supaya menghubungi polis membantu siasatan,” katanya.

* Sumber Harian Metro Online 18 September 2010
 
Top