Menu


KUALA LUMPUR: Tragedi malang yang menimpa jutawan kosmetik dan pengasas Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya perlu dijadikan iktibar kepada usahawan berjaya yang lain.

Rakan seperjuangan arwah, Datuk Azlina Che Abdullah yang juga pengasas produk kecantikan, D’Navechee, melahirkan perasaan bimbangnya dengan menasihati usahawan supaya menggunakan perkhidmatan pengawal peribadi dan pengawal keselamatan ketika berada di rumah atau keluar menjalankan urusan perniagaan.

“Bukan bermakna menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan kita mahu menunjuk-nunjuk kekayaan dan bermegah. Tetapi untuk keselamatan diri tidak salah untuk kita mengupah pengawal peribadi yang bertindak mengawal dan menjaga keselamatan kita sama ada di rumah atau di luar.

“Duit boleh dicari, tetapi nyawa tidak boleh dicari ganti. Saya berharap usahawan menjadikan kes tragis yang menimpanya (Sosilawati) sebagai iktibar dan lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga arwah di kediaman mereka di Taman Harmonis, Gombak, semalam.

Menurutnya, usahawan tidak perlu menjadi ‘kedekut’ mengupah beberapa pengawal peribadi yang bertindak mengikut pergerakan usahawan ketika keluar berurusan dan menyediakan pengawal keselamatan bersenjata di rumah dan pejabat.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap tragedi kejam yang menimpa keluarga arwah.

* Sumber Harian Metro Online 16 September 2010
 
Top