Katanya, akibat pergaulan bebas antara dia dengan teman lelaki menyebabkan hidupnya tidak berhaluan tanpa diketahui ibu bapanya. Menurutnya, sepanjang perkenalan dengan lelaki berusia 25 tahun itu, dia melakukan hubungan seks termasuk di rumah sewa teman lelaki dan hotel murah.
“Saya menyesal melakukan hubungan itu sehingga saya mengandung dan menjejaskan masa depan selain memalukan keluarga terutama ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Darul Fiqh, di sini. Nurul berkata, tidak sampai setahun kenal dengan lelaki itu dia dipaksa membuat hubungan terbabit, tetapi lama-kelamaan menjadi kebiasaan apabila dibawa ke rumah sewa dan hotel murah. “Ketika itu, saya hanya memikirkan keseronokan apabila teman lelaki sungguh baik dan mengambil berat segala masalah dihadapi sehinggalah mengandung. “Saya juga pernah terfikir untuk menggugurkan kandungan, tetapi dihalang keluarga yang mahukan saya terus menjaga kandungan itu,” katanya yang akan menyerahkan bayinya kepada keluarga angkat selepas melahirkan dan bertekad mahu menyambung pelajaran.
Sempena Aidilfitri ini, Nurul memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa kerana banyak melakukan kesalahan termasuk merosakkan nama keluarga. Remaja berasal dari pantai timur yang mengandung enam bulan, Ila, 22, pula berkata pergaulan bebas dengan teman lelaki dan jauh daripada keluarga menyebabkan dia tidak pernah gentar melakukan perbuatan tidak elok. Katanya, ajakan pertama teman lelaki dan cinta kuat terhadapnya melalaikan hingga menjerumuskan dirinya ke lembah dosa. “Pujuk rayu teman lelaki membuatkan saya rela menyerahkan mahkota berharga sehingga mengandung. “Selepas keluarga tahu perbuatan terkutuk itu, mereka memisahkan kami sebelum menghantar saya ke sini untuk pemulihan,” katanya.
Katanya, dia damai berada bersama teman lain dan memohon maaf daripada keluarga kerana banyak melakukan kesilapan.
* Sumber Harian Metro Online 15 September 2010