Menu


KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merompak beg tangan milik seorang pelajar pada Ogos lalu.

Muhamad Mizi Md Yassin, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim S M Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, dia yang berasal dari Cheras didakwa merompak beg tangan mengandungi sebuah telefon bimbit, wang tunai RM13, kad ATM dan kad insurans milik Wong Wun Sun, 21, di Jalan Yatim Yahya, Wangsa Maju, di sini, pada jam 6 petang, 9 Ogos lalu.


Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun penjara dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Abu Hassan Ramli menawarkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Muhamaad Mizi yang tidak diwakili peguam bela memohon wang jaminan dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang keluarganya.


“Saya mohon wang jaminan dikurangkan kerana tidak mampu dan keadaan kedua-dua ibu bapa yang tidak sihat,” katanya.


Komathy membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.


Sebelum ini tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas pertuduhan mencuri.


Bagaimanapun, Majistret Aidatul Akmal Maharani melepas tanpa membebaskan Muhamad Mizi daripada tuduhan itu dengan alasan pihak pendakwaan ingin mendakwa tertuduh di Mahkamah Sesyen.


Hakim Komathy kemudian menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

* Sumber Harian Metro Online 15 September 2010
 
Top