Menu


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2011/01/1

Mangsa muntah, sukar bernafas ketika dalam lokap

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi mendakwa rakannya, M Krishnan yang mati dalam tahanan polis, Jumaat lalu, diseksa dengan teruk termasuk dipukul, ditendang dan dipijak di bahagian belakang badan serta rusuk.

A Sargunan, 34, yang turut ditahan bersama Krishnan dan tiga individu lain di sebuah kondominium dekat Cheras, Ahad lalu, kerana kesalahan dadah hampir dua minggu lalu, mendakwa menyebabkan mangsa mengalami kesukaran bernafas dan muntah ketika berada di dalam lokap.
“Ketika serbuan dilakukan, saya turut ditendang dan disepak berkali-kali oleh 10 anggota polis yang melakukan serbuan dan menyaksikan sendiri bagaimana Krishnan dibelasah.

“Sebaik tiba di lokap, Krishnan sempat memaklumkan kepada saya bahawa dia diperlakukan seperti yang saya lalui dan badannya mula menjadi sakit sehingga sukar bernafas serta muntah.

“Tidak tahan menanggung kesakitan, Krishnan merayu supaya dibawa ke hospital untuk rawatan, namun permintaannya menimbulkan kemarahan anggota polis yang terus memukulnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung kejadian yang menimpa rakannya. Turut hadir Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan peguam, N Surendran serta kira-kira 50 rakan mangsa.
Krishnan, 37, dari Metro Prima, Kepong, yang ditahan reman selama empat hari sejak Ahad minggu lalu, berhubung kes dadah, ditemui mati di Pusat Tahanan Reman Bukit Jalil.

Menurut polis, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat ulser perut.
Sargunan berkata, ketika menahan kesakitan terutama dua hari sebelum meninggal, Krishnan tidak diberi sebarang rawatan.

“Saya berharap tindakan diambil ke atas semua anggota polis yang terbabit sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.

Sementara itu, Bukit Aman tidak menghalang keluarga Krishnan untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayatnya, namun perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dulu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Razali Basri, berkata hanya mahkamah yang dapat memberi kelulusan kerana polis tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

*** Sumber disunting dari Berita Harian Online 12 Januari 2011.
 
Top