Menu


KUALA TERENGGANU: Seorang jurujual wanita mengalami detik menakutkan apabila dirogol sejurus keluar dengan lelaki yang baru empat hari dikenalinya selepas bersetuju mengikut lelaki berkenaan bersiar-siar.
Tragedi itu berlaku ketika mangsa dibawa ke kawasan pantai di Jambu Bongkok, dekat sini, selepas mereka bertemu di Hentian Bas Kuala Dungun kira-kira jam 12 tengah hari, 1 Disember lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Superintendan Mohd Zani Che Din mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes berkenaan dilaporkan di Balai Polis Merchang kelmarin.
“Memang kita menerima satu laporan berhubung satu kes rogol dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan dan dikendalikan bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan,” katanya.

Harian Metro difahamkan, mangsa berusia 21 tahun bersetuju menemui suspek yang menjemputnya menaiki kereta sebelum dibawa ke sebuah rumah di Jambu Bongkok kononnya untuk menukar pakaian.
Sebaik tiba di lokasi berkenaan, suspek berusia 20-an dikatakan menukar seluarnya sebelum mereka pergi ke pantai berhampiran.

Sebaik tiba, mangsa dicabul apabila dicium dan diraba sebelum dipaksa membuka seluar di dalam kereta berkenaan.
Mangsa cuba membantah tetapi dia terus dipaksa sebelum suspek membuka seluarnya dan merogolnya.

Mangsa kemudian dihantar semula ke lokasi pertemuan mereka, sebelum suspek melarikan diri dan mangsa yang kebingungan kemudiannya pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis.
 
Top