Menu


IPOH 14 Jan. – Polis menahan seramai 20 gadis pelayan pelanggan (GRO) warganegara China kerana disyaki menyalah guna permit kerja di sebuah pusat hiburan di Taman Ipoh, semalam.

Semua wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan di premis berkenaan kira-kira pukul 9 malam.
Dalam serbuan itu juga, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun dipercayai bapa ayam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal mendapati semua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Seorang memiliki pas kerja, manakala bakinya telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pelajar dengan melibatkan diri dalam kegiatan tidak bermoral,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, semua wanita itu ditahan reman selama dua minggu di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas pekerja untuk siasatan lanjut.
Lelaki warga tempatan itu pula disiasat di bawah Seksyen 55 (b) akta yang sama kerana menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

*** Sumber disunting dari Utusan Malaysia Online
 
Top