LABIS: Seorang pekerja kilang yang hanya memakai tuala dibelasah hingga terkeluar najis oleh sekumpulan lelaki yang menyerangnya di depan rumah, sebelum melarikan mangsa dengan kereta dan ditinggalkan bogel di tepi jalan dekat sini awal pagi Isnin lalu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat (HS), pagi semalam.
Pekerja kilang kayu, Tajuddin Sajab, 47, yang tinggal di Taman Pelangi, meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi semalam akibat parah di kepala dan perut, selepas mendapat rawatan kecemasan sejak awal pagi Isnin lalu sejurus serangan kira-kira 12.30 pagi.
Dalam serangan itu, mangsa yang hanya memakai tuala dipukul ketika keluar menemui sekumpulan lelaki di depan rumahnya, sebelum dibawa kumpulan itu dalam sebuah kereta dan ditinggalkan di depan sebuah rumah dekat Taman Perling, kira-kira 3 kilometer dari rumahnya yang juga lokasi kejadian.
Kejadian itu disaksikan isteri dan beberapa jiran mangsa tetapi tidak berani tampil membantu berikutan bimbang terhadap keselamatan diri.
Mangsa dikejarkan ke HS oleh polis dengan ambulans yang berkejar ke lokasi sejurus menerima maklumat orang awam.
Kejadian itu dikatakan ada kaitan dengan perselisihan antara mangsa dengan seorang wanita, menyebabkan anak lelaki wanita terbabit yang tidak berpuas hati bertindak balas dengan membawa sekumpulan rakan menyerang balas.
Difahamkan isteri mangsa, Zanariah Tengop, 30-an, yang turut menyaksikan serangan itu hanya mampu merayu supaya suaminya tidak dipukul tetapi tidak mampu berbuat apa-apa apabila rayuannya tidak dihiraukan.
, manakala dua anak pasangan itu yang berusia enam hingga 19 tahun dipercayai tidak menyedarinya kerana sedang tidur.
Susulan kejadian terbabit, polis menahan kira-kira 10 lelaki bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Ketua Polis Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dengan alasan masih menunggu hasil bedah siasat.
*** Sumber disunting dari Berita Harian Online 12 Januari 2011.