Menu


KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fasha Sandha gagal menepati janji untuk muncul pada Majlis Green Cheongsam Showcase yang berlangsung di The Weld di sini petang semalam.

Kegagalan itu dipercayai ada kaitan penyebaran gambarnya di Internet dan media dalam keadaan memakai pakaian mandi ketika bercuti di Bali, Indonesia penghujung Disember lalu.

Bagaimanapun, wakil pihak penganjur, Bill Bora berkata, Fasha yang dihubunginya memberi alasan dia tidak dapat hadir pada majlis yang membabitkan lebih 30 selebriti popular itu kerana terbabit dengan proses rakaman suara (dubbing) di sebuah studio.

Menurutnya, Fasha memaklumkan kepada pihaknya dia tidak dapat hadir pada majlis itu hanya beberapa jam sebelum acara bermula, sedangkan sebelum ini dia sudah menyatakan persetujuan menyertai program itu.

“Kalau artis lain boleh hadir kenapa dia tidak. Alasan dia ada urusan rakaman suara sukar saya terima. Bayangkan bagaimana perasaan pereka fesyen Azrin Wahid yang mereka baju khusus untuk Fasha pakai pada majlis itu. “Selama enam bulan Azrin mengambil masa untuk mereka pakaian berkenaan tiba-tiba Fasha mungkir janji untuk menghadiri acara gilang-gemilang yang membabitkan ramai selebriti popular tanah air.

“Sedangkan artis popular lain termasuk Erra Fazira, Nasha Aziz dan Nur Fazura boleh hadir. Saya tidak faham bagaimanapun dia boleh memberi alasan (terbabit dengan rakaman suara) itu secara tiba-tiba. “Tak kan dia tidak ingat jadualnya, sedangkan dia juga ada pembantu. Alasan diberikannya tidak wajar. Ini menunjukkan dia tidak menghargai langsung sumbangan pereka fesyen. Saya harap perkara ini tidak berulang pada masa deapan,” katanya.

Harian Metro cuba menghubungi Fasha namun usaha itu gagal. Lebih 30 selebriti popular tanah air hadir di majlis itu. Antaranya Erra Fazira, Nasha Aziz, Nur Fazura, Julia Zigler, Juliana Evans, Farahdyia, Farah Asyikin, Pushpa Narayan, Deja Moss, Siti Shahrizah Saifuddin, Shila Hamzah, Zahnita, Suki, Azharina, Mislina, Faezah Elai, Nur Fatiya, Intan Ladyana dan Irma Hasmi.

Semua selebriti memperagakan pakaian 18 pereka pakaian terkemuka tanah air seperti Salikin Sidek, Wan Huzairil, Wanpa, Bill Keith, Ariff Shukor, Carven Ong, Daniel & Leslie, Faizel Azraff, Hazreen Wahid, Justin Yap, Leslie Veriyan, Keith Kee, Von Jolly, Rizman Ruzaini, Razman Razmi, Riffai dan Leslie Veriyan.

*** Sumber disunting dari Harian Metro Online 12 Januari 2011.
 
Top