Menu


PETALING JAYA: “Saya beri amaran keras kepada pengusaha premis yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan supaya hentikan kegiatan atau polis akan bertindak tegas terhadap mereka,” kata Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Difahamkan, seramai 816 individu warga asing ditahan dalam pelbagai serbuan di pusat hiburan sekitar daerah itu sepanjang tahun lalu.

Arjunaidi berkata, tangkapan dijalankan selepas mendapati mereka terbabit dalam aktiviti pelacuran atau menawarkan perkhidmatan seks.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 341 orang yang ditahan adalah gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut (258 orang), penjaga premis (170 orang) dan pelacur di hotel murah (47 orang).

“Mereka yang ditahan kebanyakan warga Thailand, China dan Filipina serta berusia antara 20 hingga 40 tahun. Kesalahan yang dikesan pula adalah menyalah gunakan pas lawatan sosial dengan menjalankan kegiatan tidak bermoral,” katanya, semalam.

Beliau berkata, terdapat juga premis yang sudah tamat lesen, namun masih meneruskan operasi seperti biasa dan melanggar syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta undang-undang sedia ada.
Katanya, banyak premis masih tidak serik walaupun sudah diberi amaran dan diserbu banyak kali oleh pihak berkuasa.

“Apabila kita tidak benarkan mereka memperbaharui lesen, pemilik premis ini bertindak licik dengan mendaftarkan nama lain, kononnya ada syarikat yang akan mengambil alih premis terdahulu yang sudah disenaraihitamkan,” katanya.
Menurutnya, setelah disiasat, mereka sebenarnya masih menjalankan aktiviti haram itu walaupun sudah menukar nama premis perniagaan.

Bagaimanapun, Arjunaidi berkata, bagi tempoh tahun lalu, sebanyak 35 kes penyalahgunaan premis untuk aktiviti pelacuran serta membawa masuk warga asing bekerja secara haram di premis, didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, polis berazam mempertingkatkan kerjasama dengan pihak PBT pada tahun ini bagi mengenal pasti premis yang menjalankan kegiatan haram.

Katanya, antara lokasi yang diberi perhatian adalah Damansara, Desa Mentari dan Sungai Buloh.
 
Top