KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama berpeleseran sebagai pelacur dan perempuan simpanan, sekumpulan 12 wanita warga asing dicekup sepasukan anggota polis menyerbu lokasi mereka mencari pelanggan di sebuah bangunan di Jalan Pudu, di sini.
Tindakan tegas terbabit diambil selepas akhbar Harian Metro membuat pendedahan Sabtu lalu berhubung aktiviti tidak bermoral sekumpulan gadis warga asing yang tidak segan silu menawarkan khidmat seks kepada orang ramai dengan bayaran semurah RM30.
Susulan pendedahan itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bertindak melakukan risikan sebelum menyerbu lokasi berkenaan, kira-kira jam 3 petang kelmarin. Sumber polis berkata, dalam operasi itu, anggota polis yang menyamar sebagai orang awam melakukan pemantauan sebelum melihat kumpulan gadis warga asing terbabit berkeliaran di bawah sebuah bangunan berhampiran Pasar Pudu, di sini.
“Kebanyakan wanita warga asing berasal dari China itu tanpa segan silu menyapa setiap lelaki yang lalu-lalang sambil menggoda untuk melakukan hubungan seks di bilik disewa mereka di kawasan sama.
“Berdasarkan risikan, gadis warga China terbabit yang berpakaian menjolok mata dikesan melakukan tawar-menawar menggunakan bilangan jari tangan bagi mewakili jumlah bayaran ditetapkan,” katanya.
Selain itu, suspek turut dikesan menggunakan telefon bimbit bagi menetapkan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan pelanggan lelaki yang berminat mendapatkan khidmat mereka.
“Gadis terbabit turut didapati menjalankan kegiatan sebagai gadis teman sosial atau perempuan simpanan kepada lelaki tempatan dengan berpeleseran di medan selera di tingkat dua bangunan berkenaan,” katanya.
*** Sumber Harian Metro Online 11 Januari 2011