Menu


GEORGETOWN: “Berdasarkan siasatan dalaman, tiada sebarang kejadian tidak bermoral berlaku di rumah kebajikan ini,” kata Pengerusi Rumah Kebajikan St Joseph, Jalan Penang, Eustace Anthony Nonis, di sini semalam.
Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan seorang peniaga wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa beberapa kanak-kanak lelaki dan perempuan dari sebuah rumah kebajikan di sini, menjadi mangsa rogol dan cabul.

Sehubungan itu, Eustace yang mewakili rumah kebajikan berkenaan bertindak tampil memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan bagi mengelak spekulasi keterlaluan secara berterusan.
Beliau berkata, sejak mengambil alih pengurusan rumah kebajikan berkenaan November 2009, pihaknya hanya menerima aduan daripada keluarga seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang mendakwa diliwat rakan sebayanya pada 2006 dan dicabul tutor sukeralawan baru-baru ini.

“Kami hanya tahu mengenai dakwaan remaja berkenaan pada 26 Disember lalu, apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri melawat rumah ini bersama remaja berkenaan dan kakaknya berusia 16 tahun, ibu saudara mereka serta seorang ahli perniagaan wanita dikenali sebagai Cik Lim selain seorang wanita daripada Persatuan Buddhist Malaysia.

“Pada hari itu, ibu saudara remaja lelaki berkenaan mendakwa anak saudaranya diliwat rakan sebaya di rumah ini dalam kejadian empat tahun lalu tetapi tiada laporan polis atau laporan perubatan dibuat untuk menyokong dakwaan berkenaan menyebabkan kes berkenaan ditutup begitu sahaja,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Biskop Gereja St Joseph merangkap Presiden rumah kanak-kanak berkenaan, Anthony Selvanayagam.

Eustace berkata, pada hari sama, remaja berkenaan juga didakwa dicabul seorang tutor sukarelawan di rumah kebajikan itu yang dikatakan menyentuh kepala, bahu dan paha remaja lelaki itu.

*** Sumber disunting Harian Metro Online 15 Januari 2011
 
Top