KUALA LUMPUR: Seorang gadis berusia 18 tahun yang menunggu tren komuter di Stesen Taman Datuk Harun di sini terpedaya dengan taktik licik seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis hingga menyebabkan dia dirogol.
Dalam kejadian jam 11 malam, lelaki terbabit menghampiri mangsa yang berseorangan dan menyatakan dia perlu ke balai polis bagi tujuan soal siasat berkaitan kes jenayah yang dilakukan rakannya.
Sumber polis berkata, mangsa kemudian mengikut suspek menaiki kereta ke sebuah rumah tumpangan di sekitar Sungai Besi sebelum dia dirogol.
“Ketika di dalam perjalanan, mangsa dipaksa membuka tudung dengan alasan supaya dia tidak ditahan polis. Mangsa menuruti kemahuan suspek dan dibawa ke sebuah rumah tumpangan dipercayai sekitar Sungai Besi sebelum dirogol,” katanya.
Sumber berkata, suspek menghantar mangsa pulang ke stesen komuter berkenaan dan wangnya disamun.
Mangsa melaporkan kejadian itu di Balai Polis Petaling Jaya dan Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.