Menu


Mangsa dihempap rak kasut diperbuat daripada besi

ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Dua, retak tulang lutut kiri akibat ditimpa rak kasut diperbuat daripada besi ketika dibelasah lima pelajar senior, di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, Mohd Syazwan Johari, 14, yang ketika itu baru selesai mandi, dipanggil oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga untuk ke bilik mereka, namun enggan mematuhinya.
Katanya, ia menyebabkan pelajar senior terbabit marah dan menariknya ke dalam bilik bersebelahan sebelum empat rakan suspek yang berada dalam bilik itu menyerangnya dengan menampar, menumbuk dan menendang tubuhnya bertubi-tubi, sambil disaksikan murid lain.

Anak sulung daripada tiga beradik itu, berkata akibat pukulan berkenaan, dia rebah sebelum dua pelajar memegang kedua-dua ta ngannya dan diheret ke pintu bilik, menyebabkan sebuah rak kasut besi yang berhampiran terjatuh lalu menghempap lutut kirinya.

“Akibat dihempap rak itu, lutut kiri saya berasa amat sakit dan mengerang kesakitan, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Selepas puas membelasah, pelajar senior berkenaan memapah saya pulang ke bilik.

“Saya dibelasah di depan rakan yang lain namun tidak ada seorang pun berani menolong. Keesokannya cikgu membawa saya ke klinik untuk rawatan dan membawa saya semula ke asrama.
“Namun, kesakitan lutut kiri bertambah teruk dan bapa terpaksa membawa saya pulang untuk rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan pemeriksaan mendapati lutut kiri mengalami keretakan serius dan perlu disimen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kuarters HSB, di sini semalam.

Mohd Syazwan berkata, kejadian itu bukan kali pertama kerana dia pernah dibelasah pelajar senior berkenaan kerana enggan membasuh pakaian mereka, tahun lalu.

“Selain itu, saya pernah disuruh membuat tekan tubi, bunyi helikopter dan mengambil makanan untuk mereka di dewan makan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Johari Zainon, 35, berkata, beliau kecewa dengan pihak sekolah kerana lambat memaklumkan kejadian sedangkan anaknya terpaksa menanggung kesakitan yang lama.

“Doktor mengesahkan tulang lutut kiri retak dan perlu disimen, selain menjalani pembedahan kedua untuk memastikan ia benar-benar pulih,” katanya.

Sementara itu, polis menahan lima suspek yang juga pelajar Tingkatan 3 sekolah berkenaan kira-kira jam 2.30 petang semalam bagi membantu siasatan.

Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

*** Sumber disunting dari Berita Harian Online 12 Januari 2011.


Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhnews@bharian.com.my
2011/01/12
 
Top