KUALA LUMPUR: Satu sindiket gores dan menang berpejabat di Taman Danau Desa, di sini, bertindak samseng dan mencabar mangsa bertumbuk dan membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang jika ingin menuntut wang mereka.
Sepanjang tahun lalu, sindiket terbabit memperdayakan 49 mangsa membabitkan kerugian lebih RM317,000, namun jumlah itu yang dilaporkan kepada Biro Pengaduan Awam MCA.
Ketuanya, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya percaya masih ramai menjadi mangsa sindiket terbabit, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada pihaknya dan polis.
Terbaru, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Mok, 26, mendakwa ditahan seorang lelaki berusia 20-an ketika berjalan di Plaza Sungei Wang, di sini, minggu lalu sebelum menyuruhnya membuka sekeping kertas.
“Lelaki itu memaklumkan saya menerima hadiah tilam jed dan perlu ke pejabatnya di Taman Desa. Lelaki itu membawa saya menaiki teksi dan sebaik tiba di pejabat terbabit, saya dipaksa membayar RM3,000 sebagai wang pendahuluan bagi pembelian tilam itu,” katanya.
Menurutnya, sebaik menyerahkan wang, beliau diberikan tilam jed itu sebagai hadiah sebelum diarah pulang.
“Saya menghubungi abang saya memaklumkan kejadian itu. Seorang lelaki kemudian membawa saya ke sebuah stesen minyak berhampiran sebelum meninggalkan saya di situ.
“Abang saya yang tiba kemudian pergi semula ke pejabat terbabit dan meminta penjelasan, tetapi lelaki itu mengajak abang saya bergasak,” katanya.