Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2011/01/17
Polis Amsterdam umum keputusan bedah siasat mayat Swee Lan hari ini KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis Amsterdam berhubung kematian pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) yang mayatnya ditemui di tempat letak kereta hotel penginapannya di bandar raya itu Jumaat lalu, dipercayai tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.
Sebaliknya, polis Amsterdam tidak menolak kemungkinan siasatan menjurus kepada kematian mengejut dan kejadian itu juga setakat ini didapati tidak wujud pembabitan pihak lain yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.
Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib, berkata sehingga petang semalam, bedah siasat ke atas mayat mangsa, Chin Swee Lan, 35, masih dijalankan dan keputusan penuh hasil siasatan dijangka diketahui hari ini.
Katanya, polis Amsterdam bagaimanapun enggan mendedahkan laporan hasil siasatan awal sehingga ia dilengkapkan sepenuhnya dan hanya akan diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia sekiranya mendapat kebenaran Kementerian Kehakiman negara itu.
“Saya difahamkan, setakat ini kematian mangsa tidak ada pembabitan pihak lain. Apa yang dilaporkan (di media kematiannya berunsur jenayah) tidak benar atau mungkin spekulasi.
“Pihak kami sentiasa memantau perkembangan kes ini dan akan berhubung dengan Polis Amsterdam dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, mereka belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hasil siasatan sehingga mendapat kebenaran Kementerian Kehakiman,” katanya ketika dihubungi di Amsterdam, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Swee Lan dari Taman Oakland, Seremban, ditemui mati oleh orang awam di tempat letak kereta di hotel penginapannya. Kehilangan mangsa disedari penyelia dan rakan setugasnya selepas dia tidak muncul untuk melaporkan diri bagi penerbangan MH17 ke tanah air.
Akhbar semalam melaporkan, mangsa yang berkhidmat bersama MAS sejak 1997, dikatakan diserang sebelum dicampak keluar melalui tingkap bilik dengan kesan pecah masuk dan geledah turut ditemui di bilik hotelnya.
Fauziah berkata, ahli keluarga pramugari itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit dan dijangka tiba di Amsterdam hari ini, manakala urusan membawa pulang mayat mangsa dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.
Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melahirkan rasa sedih dengan tragedi menimpa mangsa dan akan memberikan sepenuh sokongan dan bantuan kepada keluarganya termasuk menguruskan pemergian ke ibu negara Belanda itu.
“Swee Lan meninggalkan suami dan seorang anak," katanya.
*** Sumber disunting dari Berita Harian Online 17 Januari 2011.