PUTRAJAYA: Perbuatan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga memperdayakan ibunya bagi mendapatkan wang kononnya untuk membeli buku latihan membawa padah apabila dia dan kekasihnya dicekup ketika ‘berasmara’ di sebuah hotel murah di Seksyen 25, Shah Alam, dekat sini, semalam.
Sebelum kejadian itu, gadis yang tinggal di Petaling Jaya, dekat sini, dikatakan merayu kepada ibunya supaya diberikan wang kononnya bagi membeli peralatan dan buku sekolah untuk kemudahan pembelajaran di sekolah.
Tanpa banyak soal, ibu mangsa, lingkungan 40-an yang juga golongan berada dipercayai menyerahkan wang yang diperlukan anak gadisnya, yang sudah berpakat dengan pasangannya untuk menyewa bilik dan melakukan maksiat di sebuah hotel murah di Shah Alam, kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Bagaimanapun remaja terbabit dan pasangannya yang juga pelajar tingkatan empat ditahan sepasukan lima penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu bilik hotel itu semalam.
Kegiatan gadis terbabit didedahkan Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof, yang mengakui menahan pasangan remaja berusia 15 dan 16 tahun terbabit selepas dipercayai melakukan kegiatan tidak bermoral di bilik hotel terbabit.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, teman lelaki gadis terbabit berpakat dengan seorang lagi kawannya untuk sama-sama membawa kekasih masing-masing sebelum menyewa bilik berasingan dipercayai untuk melakukan hubungan seks.
“Gadis terbabit ditahan bersama kekasihnya dalam bilik hotel dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu sudah dilakukan beberapa kali sebelum ini.
“Kita tidak menolak, gadis terbabit dan kekasihnya menggunakan hotel itu sebagai lokasi selamat bagi melakukan maksiat termasuk hubungan seks.
“Malah, maklumat yang diperoleh mendapati, gadis terbabit sudah kerap melakukan kegiatan tidak bermoral di hotel berkenaan sebelum Jais melakukan pemantauan dan menahan mereka,” katanya, semalam.
Tanpa berselindung, Shahrom berkata, berdasarkan maklumat, gadis terbabit memperdayakan ibunya bagi mendapatkan wang kononnya untuk membeli pelbagai keperluan untuk pembelajaran di sekolah.
Malah, berdasarkan maklumat ibu gadis itu, dia langsung tidak menyangka wang itu digunakan anaknya untuk menyewa bilik hotel sebelum melakukan maksiat dengan kekasihnya.
“Kita percaya gadis itu memperoleh wang dalam jumlah yang banyak selepas memperdayakan ibunya,” katanya.
Shahrom berkata, gadis itu dan kekasihnya selain satu lagi pasangan yang juga rakan mereka ditahan sebelum dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan.
Katanya, ibu bapa kedua-dua pasangan terbabit dipanggil sebagai penjamin bagi membebaskan anak mereka yang akan didakwa dalam tempoh terdekat.
*** Sumber Harian Metro Online