Menu



Umpan kereta mewah

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my





SERI KEMBANGAN: Bermodalkan deretan kereta sport dan mewah, satu skim cepat kaya mendakwa mampu memperoleh pendapatan ekspres mencecah ratusan ribu sebulan dijadikan umpan bagi memerangkap individu yang gelap mata.
Malah, sindiket skim cepat kaya itu turut dikesan berlindung di sebalik nama perniagaan jualan langsung sah. Bagaimanapun, pergerakan kumpulan skim cepat kaya yang beroperasi di sebuah premis di Equine Park, di sini dikesan pihak berkuasa sebelum diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Anggota skim ini turut ke negeri lain termasuk Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.
Siasatan awal mendapati skim berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen syarikat lain.

Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kewujudan skim cepat kaya berkenaan daripada pengadu yang membuat laporan.

“Ketika diserbu, semua ahli kumpulan itu sedang sibuk memberikan ceramah berhubung perniagaan mereka tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Dalam serbuan itu, pihaknya menahan 30 ahli dan bakal ahli skim berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, antara taktik digunakan penganjur skim berkenaan termasuk setiap ‘mentor’ atau ‘upline’ memandu kereta mewah seperti BMW, Alphard dan Mercedes Benz bagi menarik perhatian ahli baru. Shahrudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu juga bergerak aktif seluruh negara, malah setiap ahli kumpulan itu turut mengenakan pelekat yang tertera nama skim berkenaan di kenderaan mewah masing-masing.
KPDNKK Putrajaya sebelum ini melumpuhkan satu sindiket skim sama.

“Siasatan awal mendapati, skim itu aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang,” katanya.
 
Top