Menu


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini bukan saja dirogol beberapa kali oleh lelaki yang baru dikenalinya melalui ruangan mencari teman sebuah majalah hiburan, malah suspek turut menyimpan gambar bogel gadis itu. 

Gadis berusia 15 tahun itu dikatakan menghantar gambar bogelnya kepada lelaki terbabit melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) selepas hanya seminggu mengenalinya, walaupun belum pernah berjumpa.
Berikutan laporan polis dibuat gadis itu, polis menahan seorang pekerja kafe siber berusia 37 tahun dari Pulau Pinang di sebuah rumah di Jalan Imbi di sini kira-kira jam 3 petang kelmarin, bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata mangsa dipercayai berkenalan dengan suspek melalui ruangan mencari kenalan di sebuah majalah dan mereka menjalin hubungan sejak akhir November tahun lalu. 

“Selepas berhubung melalui telefon kira-kira seminggu, suspek mengajak mangsa berjumpa di sebuah hotel di ibu negara dan memperdayakannya untuk melakukan hubungan seks. 

“Siasatan mendapati mangsa dirogol beberapa kali dalam empat pertemuan diaturkan suspek di beberapa hotel di sini,” katanya yang ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, semalam. 

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek juga pernah cuba meminjam sejumlah wang tunai daripada mangsa.
“Buat masa ini polis masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sementara itu, polis turut menahan seorang pemandu teksi berusia 37 tahun kerana disyaki mencabul seorang penumpang wanita yang menaiki teksinya di sini, kelmarin. 

Ku berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an itu mendakwa dicabul suspek ketika menaiki teksinya dari Bangsar untuk ke pusat bandar. 


* Sumber Berita Harian Online 5 Januari 2011
 
Top