MELAKA: Bau busuk yang dikatakan bangkai haiwan sejak dua minggu lalu oleh penduduk di Lorong 1 Taman Bukit Beruang Utama, dekat sini, membawa kepada penemuan menggemparkan mayat seorang gadis separuh bogel di sebuah rumah, di situ, pagi semalam.
Mayat mangsa, Charlene Sivasakkti, 24, ditemui tertiarap di atas tilam di biliknya kira-kira jam 10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bukit Baru, dekat sini, semalam selepas dihubungi orang awam yang tidak tahan dan curiga terhadap bau busuk itu.
Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak dua minggu lalu dan ditemui di dalam satu daripada bilik di dalam rumah teres berkenaan.
Jiran mangsa, Hoh Peck Ha, 48, mendakwa dia dan keluarganya terhidu bau busuk sejak dua minggu lalu, tetapi menyangkakan ia bau bangkai haiwan.
Katanya, dia bertanya kepada beberapa jiran yang mengadu perkara sama.
“Selepas mencari dari mana bau busuk itu akhirnya kami mendapati ia berpunca daripada rumah di sebelah sini. Tetapi, rumah berkenaan bertutup rapat dan tiada penghuni.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Perundangan), Superintendan R Gunarajan berkata, ketika tiba di rumah terbabit ia didapati berkunci dan polis terpaksa memotong kunci mangga untuk masuk ke dalam dan melakukan siasatan.
Katanya, ketika pemeriksaan, polis menemui mayat mangsa yang hanya berbaju tertiarap di bilik bahagian tengah rumah itu.
“Hasil pemeriksaan awal pada mayat itu kami mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa, selain tiada kesan pecah masuk ke rumahnya.
“Mangsa tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu selepas kematian ibu bapanya.
“Kali terakhir mangsa dilihat berada di hadapan rumahnya pada pertengahan bulan lalu dan jirannya memberitahu mangsa pernah dibawa menaiki ambulans ke hospital,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Beliau berkata, polis akan menyemak rekod kesihatan mangsa yang menghidap asma di samping menjalankan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi mencari punca kematiannya.
“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.
*** Sumber disunting dari Harian Metro Online.