KUALA LUMPUR: Impian seorang gadis warga Thailand datang ke Malaysia untuk mencuba bakat menjadi model profesional berkecai apabila diperdaya seorang lelaki tempatan yang mengambil kesempatan mencabul mangsa di bilik hotelnya, kelmarin.
Sumber polis berkata, suspek yang menyamar sebagai ejen syarikat mencari bakat model didakwa turut menyamun mangsa.
Difahamkan, siasatan mendapati mangsa yang berusia 22 tahun tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.
Menurutnya, mangsa yang disambut suspek sebelum dibawa ke sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, di sini.
“Suspek yang berusia 35 tahun mendaftarkan mangsa menginap dalam sebuah bilik hotel sebelum datang semula kira-kira jam 9 malam hari sama.
“Difahamkan, suspek masuk ke dalam bilik dan berpura-pura mahu berbincang berhubung surat perjanjian untuk mangsa menjadi model Malaysia,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian ke tandas sebelum terkejut apabila mendapati telefon bimbit dan pasport miliknya yang diletakkan di atas meja hilang.
“Mangsa yang mengesyaki barang berharga miliknya itu dicuri lelaki terbabit kemudian cuba memeriksa beg yang dibawa suspek, namun dia dihalang menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa dicabul.
“Mangsa yang cuba menarik beg milik suspek bagaimanapun terkejut apabila mendapati terdapat sebilah parang panjang dalam beg itu. Suspek turut mencabul mangsa sebelum melarikan diri. “Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
Susulan laporan itu, polis segera menjalankan siasatan sebelum memberkas suspek beberapa jam kemudian.
“Suspek direman untuk siasatan lanjut di Balai Polis Bukit Jalil, di sini,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pemilik salun dan pekerjanya kerugian kira-kira RM1,700 apabila dirompak seorang lelaki tua di premisnya yang terletak di Jalan Raja Laut, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 40-an bersama pekerjanya berusia 20 tahun didatangi seorang pelanggan lelaki.
“Suspek berpura-pura bertanya nama seorang lelaki tidak dikenali sebelum mangsa memberitahu tidak mengenali individu terbabit. Bagaimanapun suspek tiba-tiba menunjukkan senjata menyerupai pistol ke arah mangsa.
“Suspek kemudian meragut rantai leher milik mangsa sebelum merampas telefon bimbit yang dipegang,” katanya.