Menu


BEBERAPA remaja antara yang ditahan dalam Ops Tahun Baru JHEAINS di Bandar Baru Nilai.
BEBERAPA remaja antara yang ditahan dalam Ops Tahun Baru JHEAINS di Bandar Baru Nilai.



Kakitangan awam Islam, remaja teguk arak bersama GRO rai tahun baru 

BANDAR BARU NILAI: Beberapa penjawat awam beragama Islam dikesan meraikan kedatangan tahun baru dengan meneguk arak beramai-ramai sambil berkaraoke bersama pelayan pelanggan (GRO) di beberapa premis di bandar ini.
Perbuatan kumpulan itu bukan saja memalukan malah lebih mengejutkan, mereka enggan menerima teguran daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Seorang daripada enam lelaki berusia antara 20 hingga 30-an itu sebaliknya bersikap sinis dan memarahi penguat kuasa JHEAINS yang mahu merekodkan butir peribadi mereka dalam operasi dikenali ‘Ops Tahun Baru’ itu. 

Sumber memberitahu, kumpulan terbabit yang berasal dari kawasan sekitar bandar ini membawa empat GRO dari luar untuk berseronok di pusat karaoke yang terletak berhampiran sebuah kolej swasta di sini. 

"Kita mendapat maklumat yang ini bukan kali pertama mereka berkelakuan sedemikian. Ada laporan mengatakan mereka sering membawa GRO ke premis terbabit dan berkaraoke sambil meneguk minuman keras. 

"Berikutan maklumat itu, kita membuat risikan dan pemantauan selama beberapa minggu dan mengenal pasti kumpulan berkenaan sebelum menyerbu di tempat yang mereka rasa 'selamat'. 
"Seorang daripada mereka dipercayai paling tua, dengan nada marah meminta penguat kuasa menghentikan ceramah agama, ketika dinasihati supaya insaf dengan perbuatan mereka," katanya. 

Beliau berkata, ketika serbuan, kumpulan itu cuba menyembunyikan beberapa botol arak di bawah kerusi, namun gagal. 

Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata 17 orang termasuk tujuh penjawat awam serta dua mak nyah ditahan dalam operasi di bandar ini serta Jempol, dekat sini. 

"Seramai 15 ditahan kerana meminum arak dan kes disiasat mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. 

"Dua lelaki yang berpakaian wanita (mak nyah) pula disiasat mengikut Seksyen 66 akta yang dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan," katanya. 


*** Sumber Berita Harian Online 4 Januari 2011
 
Top